SELAMAT BERCUTI

Selamat bercuti kepada semua warga IPG Kampus Pendidikan Islam. Semoga perjalanan pulang dan kembali ke institut selamat. Berhati-hati di jalan raya walau di mana anda berada. Jaga diri, jaga iman.

Setelah satu semester kita berbakti dan mengharungi suka duka kehidupan di institut, tibalah masanya untuk kita kembali berbakti untuk keluarga tercinta. Bagi mereka yang berada di Borneo terutamanya, bukan mudah untuk mereka pulang bercuti bersama-sama keluarga tanpa diberikan cuti yang panjang. Sekiranya di sini kalian sibuk berbakti, aplikasikannya apabila di rumah juga. Ringan-ringankanlah tulang membawa ibu bapa di rumah. Mereka pasti berasa gembira apabila melihat kalian berlaku sedemikian.

Guna kesempatan bersama keluarga ini untuk merapatkan lagi hubungan antara ahli keluarga di samping memberikan peringatan-peringatan yang bermakna kepada mereka. Sampaikanlah walaupun sepotong ayat.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar,yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
- Al-Tahrim : 6

Gunakanlah masa bercuti ini dengan sebaiknya dengan aktiviti berfaedah.Jangan biarkan masa-masa itu berlalu begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada orang lain mahupun diri sendiri. Cuba kita gunakan masa cuti ini juga untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bacalah buku-buku ilmiah mahupun buku berfaedah bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Menjadi seorang guru itu memerlukan ilmu. Ilmu yang cukup luas. Umpama kata-kata Sayidina Ali bin Abi Talib, " Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan tapi ilmu akan bertambah apabila digunakan."

Jangan terlalu lalai dan berseronok dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang dalam musim cuti. Berhibur tiada salahnya tetapi kita perlu pandai memilihnya mengikut syariat yang telah ditetapkan.Jangan biarkan jadikan solat itu aktiviti kedua kita. Utamakannya terlebih dahulu sebelum yang lain.

Tiga minggu bukan masa yang lama. Bagi mereka yang dikehendaki datang awal bagi persediaan MPPB, semoga pengorbanan cuti anda diberkati. Untuk menyambut adik-adik kita nanti, pada 20 JUN 2011. Raikanlah kedatangan mereka. bantulah mereka sekiraanya mereka memerlukan. Tunjukkanlah contoh teladan yang baik.

Akhir kata daripada saya, saya ingin nyatakan sekali lagi gunakanlah waktu cuti ini sebaiknya. Jaga diri anda  dan berhati-hati di jalan raya, ingatlah kepada orang yang tersayang.


YDP,
JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR
IPG KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM
2011/2012

Jauhi sifat sombong

Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. -Surah Luqman:18-


Panduan daripada Imam Al- Ghazali bagi mengelakkan bersifat sombong dan angkuh.

1. Jika berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita, kerana kanak-kanak ini belum banyak melakukan dosa daripada kita.

2. Apabila bertemu dengan orang tua, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia sudah lama beribadat.

3. Jika berjumpa dengan orang alim, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana banyak ilmu yang telah mereka pelajari dan ketahui.

4. Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana mereka membuat dosa dalam kejahilan, sedangkan kita membuat dosa dalam keadaan mengetahui..

5. Jika melihat orang jahat, jangan anggap kita lebih mulia kerana mungkin satu hari nanti dia akan insaf dan bertaubat atas kesalahannya.

6. Apabila bertemu dengan orang kafir, katakan didalam hati bahawa mungkin pada suatu hari nanti mereka akan diberi hidayah oleh Allah dan akan memluk Islam, maka segala dosa mereka akan diampuni oleh Allah.

SELAMAT HARI GURU

Alhamdulillah, bersyukur ke hadarat Ilahi dengan limpah kurniaNya kita masih dapat menghirup udara yang ada di sekeliling kita. Dengan nikmat iman dan islam kita masih mampu berdiri teguh untuk menghadapi hari-hari yang penuh onak dan duri ini. Pertamanya saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU buat semua pendidik dan tidak lupa juga buat bakal-bakal pendidik yang masih menuntut di institut-institut pendidikan.

Bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.
Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

Perlaksanaan KSSR, SPPK dan MBMMBI perlulah mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar transformasi pendidikan yang diingin dapat dicapai. Begitu juga dengan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), para pendidik perlulah menguasainya agar matlamat untuk mentransformasikan pendidikan negara tercapai. (sumber)

SENARAI TEMA HARI GURU 1972-2010


Kita harus redha dengan ketentuan-Nya meletakkan kita pada satu kedudukan pekerjaan yang mulia iaitu guru. Semenjak kita memulakan alam persekolahan sehinggalah berada di menara gading kita belajar dengan insan-insan yang bergelar guru. Hargailah mereka bagi memperolehi keberkatan daripada mereka. Terima kasih cikgu.

Hari berganti hari, tanpa disedari tidak lama lagi kami pelatih guru pula akan mengambil alih tugas-tugas ini. Kepada semua bakal pendidik, kalian perlu ingat kerjaya guru ini bukan kerjaya yang mudah, boleh dilakukan secara sambil lewa. Betulkan kembali niat kita. Apa tujuan sebenar kita memilih profesion ini. Adakah kerana elaunnya? Adakah kerana jaminan kerja? Adakah kerana cuti? Kita perlu ingat, kita bakal menyambung tugas-tugas pendidik dan yang paling utama kita mewarisi tugas para nabi.

Guru adalah penjana insan mulia generasi akan datang. Peranan guru dalam melahirkan insan bermoral adalah menyampaikan ilmu (mu'allim), menjayakan proses pendidikan (murabbi), memperkembangkan kemahiran(mudarris), mendidik adab dan budi pekerti (mu'addib) dan melahirkan generasi akan datang (mursyid). Kita bukan hanya sekadar mengajar mengikut jadual yang telah disedikan, tetapi kita sebagai pendidik. Mendidik anak murid untuk membezakan hak dan batil. Mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna dan beramal soleh.

Dalam kitab ihya' Ulumuddin, Imam Al-ghazali telah mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak, khasnya pada peringkat awal perkembangan. Lima aspek utama tersebut adalah seperti qudwah (contoh teladan), mulahazah wa mutaba'ah(pemerhatian dan batasan), i'tiyad (kebiasaan atau kelaziman), isu al-thawab wa al iqab (ganjaran dan hukukan) dan nasihat (penyelesaian).  Tidak perlu saya menghuraikan satu persatu akan aspek-aspek ini. Guru yang bakal mengajar di sekolah rendah terutamanya perlu mengambil berat akan hal ini. Pada peringkat awal seperti ini, murid-murid akan menyerap umpama span apa yang diperhati dan didengari oleh mereka. Tunjukkanlah contoh teladan yang baik kepada mereka.

Semoga kalian menjadi guru yang mampu mengubah pemikiran murid yang semakin hari semakin menyimpang jauh daripada landasan dan diracuni oleh virus-virus sekularisma. Walau apa bidang tugas kita sekalipun, sama ada guru pendidikan islam, guru kajian sosial, guru matematik, guru BI, guru BM. Kita bertanggungjawab mendidik genarasi akan datang untuk menyedari akan matlamat kita diciptakan di atas muka bumi ini. Tidak akan diciptakan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Dan juga sebagai khalifah, hamba dan daie. Bukannya hidup hanya untuk berseronok dan berjaya di dunia sahaja.

SELAMAT HARI GURU

" GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"



~MURABBI PEEZ~

SaLaM IMTiHaN MEI 2011

Salam imtihan buat semua pelajar IPG KPI bagi menduduki peperiksaan semester ini MEI 2011. Saya yakin dan percaya rakan-rakan sekalian pasti ada yang sedang khusyuk menghafal istilah-istilah, membaca teori-teori dan mengingati langkah-langkah pengiraan disamping cara mengaplikasikan formula. Dalam keadaan musim peperiksaan seperti ini juga, pasti ada yang mengalami tekanan dan ada juga yang masih berseronok tanpa menyedari peperiksaan semakin hampir.


Namun begitu, dalam apa jua situasi kalian, saya berharap agar semua pelajar dapat membuat persediaan yang secukupnya bagi menghadapinya. Bukan sekadar persiapan intelektual sahaja yang perlu ditekankan, persiapan spiritual, rohani dan jasmani juga perlu diambil kira. Pastikan jasmani, rohani, spiritual dan intelektual terjaga dan seimbang bagi menghadapi peperiksaan ini.

Jangan tinggal solat 5 waktu, disamping solat hajat dan doa berterusan meminta pertolongan dari-Nya. USAHA DAN TAWAKAL itu tidak boleh dipisahkan. Sama-sama kita berusaha dan bertawakal agar dapat membuat yang terbaik bagi peperiksaan MEI 2001.

Andai masih ada kekeliruan dalam subjek yang dipelajari, jangan malu segan masih ada lagi masa untuk kalian bertemu dengan pensyarah-pensyarah mahupun rakan-rakan. Malu bertanya sesat jalan.

Walau apa pun jurusan yang kita pelajari, kita perlu berbetulkan kembali niat kita belajar. Tujuan  apakah kita belajar sebanarnya. Betulkan niat kita untuk mencapai keredhaan Allah semata-mata.

Bersusah-susah dahulu, besenang-senang kemudian.

Dengan nama Allah, semoga semua pelajar IPG KPI dapat menjawab peperiksaan dengan jayanya.

BITTAUFIQ WANNAJAH
PEPERIKSAAN MEI 2011
Semester ini lebih baik daripada semester lalu, tunjukkan anda mampu melakukannya. Ibu bapa, Pensyarah dan rakan-rakan pasti gembira

 
Saya mewakili barisan JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR  2011/2012 ingin mengucapkan SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN MEI 2011. Memohon seribu kemaafan atas segala kekurangan dan kesalahan daripada pihak pimpinan. SEMOGA BERJAYA DUNIA AKHIRAT.

YDP JPP 11/12

Malam Kemuncak Palestin

Alhamdulillah, akhirnnya minggu untukmu Palestin berjaya dengan jayanya. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Exco Dakwah JPP, MTEN dan tidak lupa kepada semua warga IPG KPI dengan kerjasama yang diberikan sepanjang program ini.


Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan adalah :
1) ceramah sejarah bumi palestin (selasa selepas maghrib)
 - Major Nazri
2) forum bersamamu palestin (rabu selepas maghrib)
 - Ustaz Riduan dan Ustaz Syakirin
3) malam kemuncak untukmu palestin (khamis selepas isyak)
 - Exco Dakwah, Kerohanian dan Kepimpinan JPP, Semester 7, MTEN

Isu Palestin bukan merupakan asing lagi bagi kita.Tidak wajar sekiranya kita hanya memandang sebelah mata akan musibah-musibah yang dilanda oleh kaum muslimin di Palestin.

Umat Islam di dunia ini seharusnya bersatu. Perumpamaan yang boleh diberikan adalah sekiranya peha kiri dicubit, peha kanan akan turut merasai. Setiap muslim itu bersaudara.

Nakbah atau malapetaka yang dilanda Palestin tidak boleh dipandang remeh. Kita mungkin tidak mampu untuk sampai di sana untuk bersama-sama berjihad untuk menegakkan agama Allah di bumi Palaestin. Namun masih belum terlambat sekiranya kita mengambil berat akan keadaan mereka dengan memberi bantuan kewangan, sebarkan isu-isu Palestin dan tidak lupa juga senjata utama mukmin iaitu dengan berdoa. Kemenangan itu pasti akan datang.

"Ramai di kalangan ahli kitab mengharapkan kamu murtad menjadi kafir setelah kamu beriman kerana perasaan hasad dengki di dalam diri mereka setelah nyata kepada mereka kebenaran."
(Surah al-Baqarah ayat: 109).

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
"Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka."
(Surah al-Baqarah ayat 120).

Kesedaran seperti ini amat penting bagi memberi peringatan kepada umat islam di Malaysia agar tidak terus leka dengan keharmonian dan keselesaan di negara kita.

Mahasiswa-mahasiswa terutamanya harus bergerak memberi kesedaran kepada  masyarakat akan musibah yang melanda Palestin. Mungkin kadangkala ada yang menyatakan kita sibuk membicarakan akan isu Palestin namun isu masalah mahasiswa yang semakin hari semakin terlena tidak dihiraukan. Ayuhlah sama-sama kita saling memberi peringatan kepada sahabat dan rakan-rakan kerana dunia ini sementara. Jihad itu bukan hanya dalam istilah peperangan. Jihad itu sangat meluas skopnya. Sekiranya kita berada dalam arena pendidikan, berjihadlah dalam pendidikan. Memberi kesedaran kepada anak-anak didik kita agar tidak terkena tipu daya musuh-musuh Islam yang tidak akan puas sehingga umat Islam mengikut agama mereka.


Perkukuhkan biah solehah di mana sahaja kita berada.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“ Barangsiapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam,maka dia bukanlah daripada golongan mereka (orang-orang Islam)”.


ps* kredit gmbr