SELAMAT BERCUTI

Selamat bercuti kepada semua warga IPG Kampus Pendidikan Islam. Semoga perjalanan pulang dan kembali ke institut selamat. Berhati-hati di jalan raya walau di mana anda berada. Jaga diri, jaga iman.

Setelah satu semester kita berbakti dan mengharungi suka duka kehidupan di institut, tibalah masanya untuk kita kembali berbakti untuk keluarga tercinta. Bagi mereka yang berada di Borneo terutamanya, bukan mudah untuk mereka pulang bercuti bersama-sama keluarga tanpa diberikan cuti yang panjang. Sekiranya di sini kalian sibuk berbakti, aplikasikannya apabila di rumah juga. Ringan-ringankanlah tulang membawa ibu bapa di rumah. Mereka pasti berasa gembira apabila melihat kalian berlaku sedemikian.

Guna kesempatan bersama keluarga ini untuk merapatkan lagi hubungan antara ahli keluarga di samping memberikan peringatan-peringatan yang bermakna kepada mereka. Sampaikanlah walaupun sepotong ayat.

"Hai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kalian dan keluarga kalian dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar,yang keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."
- Al-Tahrim : 6

Gunakanlah masa bercuti ini dengan sebaiknya dengan aktiviti berfaedah.Jangan biarkan masa-masa itu berlalu begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada orang lain mahupun diri sendiri. Cuba kita gunakan masa cuti ini juga untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bacalah buku-buku ilmiah mahupun buku berfaedah bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan. Menjadi seorang guru itu memerlukan ilmu. Ilmu yang cukup luas. Umpama kata-kata Sayidina Ali bin Abi Talib, " Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum dan harta terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan tapi ilmu akan bertambah apabila digunakan."

Jangan terlalu lalai dan berseronok dengan aktiviti-aktiviti yang dirancang dalam musim cuti. Berhibur tiada salahnya tetapi kita perlu pandai memilihnya mengikut syariat yang telah ditetapkan.Jangan biarkan jadikan solat itu aktiviti kedua kita. Utamakannya terlebih dahulu sebelum yang lain.

Tiga minggu bukan masa yang lama. Bagi mereka yang dikehendaki datang awal bagi persediaan MPPB, semoga pengorbanan cuti anda diberkati. Untuk menyambut adik-adik kita nanti, pada 20 JUN 2011. Raikanlah kedatangan mereka. bantulah mereka sekiraanya mereka memerlukan. Tunjukkanlah contoh teladan yang baik.

Akhir kata daripada saya, saya ingin nyatakan sekali lagi gunakanlah waktu cuti ini sebaiknya. Jaga diri anda  dan berhati-hati di jalan raya, ingatlah kepada orang yang tersayang.


YDP,
JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR
IPG KAMPUS PENDIDIKAN ISLAM
2011/2012
Reactions: 

0 comments: