SELAMAT HARI GURU

Alhamdulillah, bersyukur ke hadarat Ilahi dengan limpah kurniaNya kita masih dapat menghirup udara yang ada di sekeliling kita. Dengan nikmat iman dan islam kita masih mampu berdiri teguh untuk menghadapi hari-hari yang penuh onak dan duri ini. Pertamanya saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU buat semua pendidik dan tidak lupa juga buat bakal-bakal pendidik yang masih menuntut di institut-institut pendidikan.

Bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.
Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para pendidik perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

Perlaksanaan KSSR, SPPK dan MBMMBI perlulah mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar transformasi pendidikan yang diingin dapat dicapai. Begitu juga dengan penggunaan IT (teknologi maklumat) dan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), para pendidik perlulah menguasainya agar matlamat untuk mentransformasikan pendidikan negara tercapai. (sumber)

SENARAI TEMA HARI GURU 1972-2010


Kita harus redha dengan ketentuan-Nya meletakkan kita pada satu kedudukan pekerjaan yang mulia iaitu guru. Semenjak kita memulakan alam persekolahan sehinggalah berada di menara gading kita belajar dengan insan-insan yang bergelar guru. Hargailah mereka bagi memperolehi keberkatan daripada mereka. Terima kasih cikgu.

Hari berganti hari, tanpa disedari tidak lama lagi kami pelatih guru pula akan mengambil alih tugas-tugas ini. Kepada semua bakal pendidik, kalian perlu ingat kerjaya guru ini bukan kerjaya yang mudah, boleh dilakukan secara sambil lewa. Betulkan kembali niat kita. Apa tujuan sebenar kita memilih profesion ini. Adakah kerana elaunnya? Adakah kerana jaminan kerja? Adakah kerana cuti? Kita perlu ingat, kita bakal menyambung tugas-tugas pendidik dan yang paling utama kita mewarisi tugas para nabi.

Guru adalah penjana insan mulia generasi akan datang. Peranan guru dalam melahirkan insan bermoral adalah menyampaikan ilmu (mu'allim), menjayakan proses pendidikan (murabbi), memperkembangkan kemahiran(mudarris), mendidik adab dan budi pekerti (mu'addib) dan melahirkan generasi akan datang (mursyid). Kita bukan hanya sekadar mengajar mengikut jadual yang telah disedikan, tetapi kita sebagai pendidik. Mendidik anak murid untuk membezakan hak dan batil. Mendidik mereka agar menjadi insan yang berguna dan beramal soleh.

Dalam kitab ihya' Ulumuddin, Imam Al-ghazali telah mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak, khasnya pada peringkat awal perkembangan. Lima aspek utama tersebut adalah seperti qudwah (contoh teladan), mulahazah wa mutaba'ah(pemerhatian dan batasan), i'tiyad (kebiasaan atau kelaziman), isu al-thawab wa al iqab (ganjaran dan hukukan) dan nasihat (penyelesaian).  Tidak perlu saya menghuraikan satu persatu akan aspek-aspek ini. Guru yang bakal mengajar di sekolah rendah terutamanya perlu mengambil berat akan hal ini. Pada peringkat awal seperti ini, murid-murid akan menyerap umpama span apa yang diperhati dan didengari oleh mereka. Tunjukkanlah contoh teladan yang baik kepada mereka.

Semoga kalian menjadi guru yang mampu mengubah pemikiran murid yang semakin hari semakin menyimpang jauh daripada landasan dan diracuni oleh virus-virus sekularisma. Walau apa bidang tugas kita sekalipun, sama ada guru pendidikan islam, guru kajian sosial, guru matematik, guru BI, guru BM. Kita bertanggungjawab mendidik genarasi akan datang untuk menyedari akan matlamat kita diciptakan di atas muka bumi ini. Tidak akan diciptakan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Dan juga sebagai khalifah, hamba dan daie. Bukannya hidup hanya untuk berseronok dan berjaya di dunia sahaja.

SELAMAT HARI GURU

" GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"



~MURABBI PEEZ~

0 comments: